Tuesday, August 9, 2011

A131642 Lau Wei Keat LJ02 Emosi Positif

Salam sejahtera.


Pada kuliah yang kedua, saya telah didedahkan dengan satu lagi teori yang menerangkan struktur dan ekspresi emosi. Teori tersebut dinamakan teori Ekspresi Wajah Semula Jadi Izard ("Izard's Innate Facial Expression"). Teori ini menyatakan bahawa sistem saraf yang mengawal wajah and ekspresi emosi serta persepsi emosi adalah semula jadi. Oleh sebab emosi adalah semula jadi dan proses pembelajaran hanyalah mempunyai impak yang sedikit terhadap pengalaman emosi. Misalnya, setelah saya dilahirkan, emosi gembira yang ditunjukkan menerusi senyuman tidaklah dipelajari daripada sesiapa. Emosi ini adalah semula jadi, maksudnya saya tahu emosi gembira tanpa mempelajarinya. Teori ini telah dibuktikan oleh kajian senyuman bayi dan kajian antara budaya.


Kajian senyuman bayi menunjukkan bahawa manusia tahu ekspresi emosi sejak kelahiran. Malahan, manusia menunjukkan emosi marah dan terkejut pada umur 3 dan 4 bulan, emosi malu dan ketakutan pada umur 5 dan 6 months serta emosi memuaskan pada umur 1 tahun dan emosi berasa salah pada umur tahun 2. Walau bagaimanapun, konklusi kajian yang dijalankan oleh Paul Ekman ini menyatakan bahawa ekpresi emosi bukanlah semula jadi sepenuhnya, tetapi emosi tersebut boleh dipengaruhi oleh pengalaman budaya. Paul Ekman juga menyokong kesejagatan mimik muka dengan emosi. Kajian antara budaya pula menunjukkan wajah gembira (95 - 100%) lebih dominan dikenalpasti dari wajah takut (54 – 85%).


Scherer dan Wallbott (1994) pula meneliti kajian-kajian meliputi 37 buah Negara dan 5 benua dan mendapati bahawa konsep kesejagatan emosi wajah adalah mantap dan stabil. Perbezaan hanyalah pada bagaimana emosi itu dialami dan dikawal dan bukannya pada bagaimana emosi itu dizahirkan. Scherer dan Wallbott juga mendapati ekspresi semula jadi boleh diubah ke tahap tertentu menerusi pengalaman budaya seseorang individu tersebut.

Seterusnya, kami didedahkan dengan konsep emosi positif dan negatif. Tekanan telah diberikan kepada emosi positif dalam kuliah tersebut. Antara emosi positif yang dibincangkan secara lanjut adalah emosi gembira, bahagia dan kasih. Kegembiraan adalah satu emosi atau keaadaan afektif yang dicirikan oleh perasaan kenikmatan, keseronokan dan kepuasan. Hal ini merupakan refleksi kepada kepentingan sejagat yang ditekankan oleh manusia terhadap kegembiraan. Dari segi falsafah pula, Aristotle mendefinisikan kegembiraan sebagai kejayaan mengejar keseronokan. Ahli falsafah Plato pula membincangkan kegembiraan dari sudut yang berlainan, iaitu, punca kegembiraan merupakan kehidupan yang mulia. Menurut Plato, hidup yang penuh dengan nilai-nilai murni dan moral akan memberi kepuasan, keseronokan dan kenikmataan kepada seseornag. Epicurean pula memberi pandangan berbeza dengan menyatakan bahawa skala keseronokan dan kesakitan yang akan menentukan kegembiraan. Kegembiraan boleh dicapai menerusi usaha untuk mengurangkan kesakitan dan meningkatkan keseronokan. Dari segi persektif yang bebeza, Mills menyatakan bahawa kebahagiaan adalah kesesuaian semua jenis tingkah laku pada situasi yang tertentu. Beliau menerangkan bahawa sekiranya seseroang itu bersikap sesuai dan berpakaian sesuai, maka individu tersebut akan mengecapi kegembiraan. Namun, tanda yang paling senang untuk mengenal pasti sama ada orang tersebut gembira atau tidak adalah senyuman yang diukir pada muka individu tersebut.


Beberapa kajian telah dijalankan terhadap konsep kegembiraan. Veehoven (1995) telah menjalankan kajian antara budaya dan membuat konklusi bahawa kebahagiaan berbeza dari satu Negara ke Negara yang lain.  Kajian Budaya Asia Diener et al (1995) pula melaporkan bahawa tahap kebahagian oran Asia adalah lebih rendah berbanding Negara lain. Argyle (1987) pula dapat mengenal pasti bahawa masyarakat yang paling gembira  adalah rakyat Amerika Utara (Kanada dan Amerika Syarikat), Australia dan Eropah.

Kebahagiaan dan tahap adaptasi seseorang individu adalah saling bergantung. Orang yang lebih gembira adalah mereka yang pandai menyesuaikan diri mengikut situasi sekeliling. Orang yang mempunyai tahap adaptasi yang tinggi terhadap keadaan di sekitarnya adalah lebih bahagia berbanding mereka yang tidak pandai menyesuaikan diri. Hal ini kerana orang yang lebih pandai menyesuaikan diri mampu menghadapi segala halangan dan masalah. Berasasakan kepada penerangan Rim (1993), mereka yang mempunyai strategi penyelesaian masalah yang efektif dan efisien berkecenderungan untuk mejadi lebih bahagia dan gembira.


Menurut Kozma et al (1992), kegembiraan mempunyai 2 komponen yang penting iaitu, keadaan afektif jangka panjang dan keadaan afektif jangka pendek. Keadaan afektif jangka panjang merupakan latar belakang emosi berterusan yang agak stable dari bulan ke bulan atau tahun ke tahun. Keadaan afektif jangka pendek pula berasaskan kejadian yang baru dalam hidup. Contohnya, keadaan afektif jangka pendek yang saya alami adalah kepuasan apabila saya mendapat keputusan peperiksaan yang baik. Kebahagiaan adalah campuran keadaan afektif jangka pendek dan jangka panjang. Freud menyatakan bahawa hubungan kita dengan ibu bapa kita semasa zaman kanak-kanak adalah penentu utama kemahiran penyesuaian diri dan kegembiraan pada masa hadapan. Vanfossen (1981) juga membuat kenyataan bahawa lelaki dan perempuan mendapat banyak kepuasan dan kegembiraan daripada perkahwinan. Mereka yang berkahwin adalah lebih gembira berbanding orang yang masih bujang. Faktor lain yang mempengaruhi kegembiraan adalah kesihatan, persahabtan, kerja dan rekreasi. Misalnya, sekiranya saya mempunyai penyakit kronik, saya tidak akan berasa gembira walaupun terdapat berita baik untuk saya. Faktor penghayatan agama juga adalah salah satu faktor yang mempunyai pengaruh kuat terhadap kebahagiaan.


Kasih sayang adalah lebih daripada perasaan suka yang kuat. Perasaan suka menjadi kuat apabila dengan kualiti tambahan seperti unsur kebergantungan, unsur sayang dan unsur kepercayaan.  Emosi ini dipengaruhi oleh 3 faktor, iaitu komitmen, hubungan intim dan keghairahan.  Interaksi antara individu merupakan proses yang membawa kepada cinta sesame 2 individu. Menurut Hatfiled dan Rapson (1993), faktor dalam interaksi antara individu adalah sama walaupun berbeza budaya dan seks. Interaksi antara individu ini tidak akan bermula melainkan seseorang itu mahu memulakan hubungan dan kedua-dua orang itu mestilah dalam jarak fizikal yang berdekatan serta mempunyai kemahiran sosial yang diperlukan untuk memulakan dan mengekalkan hubugan tersebut.


Konklusinya, konsep kegembiraan dan konsep kasih sayang yang tidak pernah saya dalami secara menyeluruh merupakan sesuatu yang baru kepada saya. Saya tidak sabar untuk menghadiri kelas yang seterusnya dan mendalami konsep emosi negatif.

No comments:

Post a Comment