Tuesday, August 9, 2011

A131960 AHMAD AFIF BIN AZZERI EMOSI, ANDA DAN KAMU

Bismillahirrahmanirrahim, salam kamunting.


Hari rabu yang lepas,3 ogos 2011, Dr. Zamri telah menyampaikan kuliah mengenai  struktur dan ekspresi emosi yang mana ianya merupakan kesinambungan dari kuliah yang telah diadakan dua minggu yang dari tarikh tersebut begitu jua mengenai emosi positif dan negatif. Kuliah pada kali ini agak berlainan kerana dr. membincangkan mengenai perkara-perkara ini, dr. Zamri juga telah menyediakan kuiz yang dijawab secara beramai-ramai. Kuiz yang diadakan merangkumi topik-topik yang telah dibincangkan semasa kuliah yang lalu. Walaupun kumpulan saya tidak memperoleh markah penuh tetapi kuiz ini ternyata dapat menguji pemahaman kami berkenaan topik yang telah kami pelajari. tambahan, saya juga mendapati bahawa dengan tugasan jurnal yang diberikan doktor, saya dan rakan-rakan saya lebih faham akan tajuk yang disampaikan dalam kuliah dan kami tidak lagi perlu mengulangkaji di akhir waktu.. Tugasan jurnal yang menjadi bebanan bagi sesetengah pelajar perubatan ini nyata memudahkan pelajar-pelajar untuk tidak lagi membuang masa dengan perkara yang lain. Pada pendapat saya juga, kuiz  yang doktor berikan  semasa kuliah adalah menarik berbanding kuliah yang satu hala sahaja kerana ianya dapat mengurangkan rasa mengantuk dan kami berasa amat gembira dan lebih fokus untuk memastikan kami dapat menjawab setiap soalan dengan jelas, tepat dan pastinya cemerlang.Mungkin, doktor boleh mengadakan kuiz seperti ini secara berkala atau aktiviti lain yang mana boleh menarik minat kami kerana kuliah yang diadakan pada waktu petang biasanya menundang perasaan mengantuk dan diikuti juga dengan malas.

Merujuk pada kuliah yang kami dengar, kuliah ini adalah sambungan daripada kuliah yang lalu iaitu "Izard's Innate Facial Expression" dan "Learning & Experience Theories".Teori Izard mengatakan bahawa emosi adalah sesuatu yang semulajadi dalam diri seseorang. Terdapat dua kajian yang telah saya faham dan belajar menerusi kuliah berkaitan Teori Izard iaitu kajian "born to smile" dan kajian silang budaya "cross cultural studies".Teori Izard turut memberikan pernyataan bahawa pembelajaran mempunyai kesan yang sedikit dan minima terhadap emosi. Dalam kajian "born to smile" atau dilahirkan untuk senyum dalam translasi bahasa melayunya, dikatakan bahawa emosi telahpun ada dan semasa seseorang dilahirkan dan perkembangannya adalah mengikut peringkat umur.Terdapat beberapa kategori umur dan emosi yang berkait. Sebagai contoh, seseorang bayi akan berasa marah dan terkejut jika dilakukan sesuatu perkara yang tidak dia minati pada umur 3-4 bulan, takut dan malu pada usia 5-6 bulan, perasaan puas hati pada umur 1 tahun dan perasaan bersalah pada umur 2 tahun. Hal ini memang menjadi tarikan kepada saya kerana sebelum ini saya tidak menyedari hakikat bahawa emosi yang dialami oleh seorang bayi berkembang mengikut umurnya. Namun begitu, senyuman yang diukir pada wajah seseorang bayi tidak semestinya mengatakan bahawa dia gembira,sebaliknya senyuman itu sendiri merupakan suatu cara atau alternatif untuk berkomunikasi bersama orang di sekelilingnya.

Seterusnya kajian silang budaya telah dijalankan oleh Paul Ekman. Beliau telah menjalankan kajian tersebut di beberapa buah Negara iaitu Argentina,Brazil,Amerika Syarikat, Chile dan Jepun. Kajian tersebut antaranya dengan cara menunjukkan gambar- gambar yang memaparkan wajah seseorang dan menyuruh responden-responden untuk mengenal pasti emosi yang dapat dinyatakan melalui foto tersebut. Namun sesetengah pihak mengatakan bahawa kaedah tersebut hanya sesuai kepada golongan terpelajar. Ekman kemudiannya telah melakukan sekali lagi soal selidiknya di Papua New Guinea dan Borneo. Ekman mendapati bahawa emosi bukannya semulajadi tetapi berubah mengikut pengalaman budaya. Paul Ekman telah mengaitkan mimik muka dengan emosi.  Menerusi kajiannya, beliau telah menyimpulkan bahawa wajah gembira lebih mudah dikenal pasti berbanding wajah- wajah yang lain. Selain itu, kajian yang dilakukan oleh Scherer dan Wallbott di 37 buah Negara dan 5 buah benua turut menyokong pernyataan Ekman. Mereka membuktikan bahawa konsep kesejagatan emosi adalah mantap dan stabil.

 

 Perkara lain yang saya pelajari dalam kuliah ini, saya baru mengetahui bahawa seseorang yang mahir menyesuaikan diri sendiri dalam keadaaan akan lebih ceria dan bahagia. Seseorang yang lebih bahagia juga lebih senang untuk membiasakan diri sendiri dalam apa-apa keadaan walaupun dalam suasana yang dia tidak  pernah rasai sebelum ini. Tambahan lagi, seseorang yang lebih pandai menyesuaikan diri dalam apa-apa keadaan lebih hebat dalam menyelesaikan semua masalah yang timbul. Misalnya, pelajar yang berfikiran optimistik dan positif terhadap apa jua keadaan sentiasa percaya bahawa berusaha tanpa putus asa dapat menjuruskan mereka untuk mencapai kejayaan. Oleh itu, mereka tidak akan berputus asa walaupun berasa berat kadang-kala semasa peperiksaan menjelang kerana mereka dapat menyesuaikan diri dengan baik. Namun, pelajar yang sentiasa berasa diri tidak bahagia lebih cenderung untuk berputus asa semasa menghadapi masalah. Mereka tidak akan berusaha menyesuaikan diri sendiri kerana mereka tidak tahu cara menyelesaikan kesusahan dan masalah mereka. Kekalahan dan kemunduran akan seterusnya menjadikan mereka berasa lebih tidak bahagia dan akhirnya kecundang di pengakhiran jalan.

Selain itu, sebelum saya menghadiri kuliah ini, saya tidak berapa memahami maksud sebenar perkataan 'cinta' yang sentiasa digembar-gemburkan terutama diperingkat umur saya yang kian matang. Selepas kuliah ini, saya telah mengetahui 'cinta' terdiri daripada tiga faktor, iaitu 'passion', 'intimacy' dan 'commitment'. Semasa seseorang jatuh cinta, perubahan emosi yang besar mudah berlaku. Jatuh cinta boleh menyebabkan seseorang berasa sangat bahagia dan gembira. Namun begitu, pergaduhan atau cemburu yang tidak menentu yang tidak dapat dielakkan juga boleh menyebabkan seseorang berasa kecewa, sedih dan marah. Sebagai contoh, seseorang menjadi lebih sensitif semasa jatuh cinta, jadi lebih mudah menyalahfahamkan kekasih jika kekasihnya tidak menelefonkan atau mengajakkan dia keluar dan dia akan juga memikirkan perkara-perkara negatif tentang sikap kekasihnya itu. Disebabkan itulah Islam tidak menyuruh untuk berpasangan sebelum menikah, tetapi biarlah berpasangan selepas menjalinkan hubungan pernikahan. Oleh itu, semua orang tanpa mengira kaum ataupun jantina, haruslah belajar cara menguruskan emosi sendiri supaya perkahwinan yang bahagia dapat dijamin. Perkahwinan yang bahagia dengan patuh pada perintah agama juga menjaminkan kebahagian dan kesihatan mental anak-anak dan generasi selepasnya.

 

 Tambahan lagi mengenai kebahagiaan, kami juga telah membelajari tentang erti "kebahagian". Kami juga belajar tentang faktor-faktor yang dapat mengekalkan atau menjejaskan kebahagian dalam hidup kita. Menurut Wikipedia, kebahagiaan ialah suatu keadaan perasaan aman damai serta gembira. Dengan kata yang lain, kebahagiaan melebihi hanya perasaan kegembiraan. Umumnya, kegembiraan amat berkait dengan sesuatu kejadian atau pencapaian yang khusus, sedangkan kebahagiaan berkait dengan keadaan yang lebih umum seperti kesenangan hidup atau kehidupan berumah tangga.

Aritotle juga berfalsafah, kebahagian adalah kejayaan dalam mengejar kegembiraan. Plato pula menyatakan bahawa mulianya hidup merupakan salah satu faktor yang membolehkan kita mendapat kebahagiaan. Menurut Epicurean, kebahagiaan boleh didapati dengan memaksimumkan kegembiraan dan dalam masa yang sama, meminimakan kesedihan atau kesengsaraan. Mills pula berpendapat bahawa kebahagiaan didapati hanya dengan kita mengamalkan sikap rasional dalam kehidupan seharian. Kesimpulannya disini, tahap kegembiran dan kebahagiaan yang dapat seseorang rasai adalah berdasarkan kadar syukur atau kebolehan seseorang mengawal keinginan mereka. Sebagai contoh, seseorang yang mempunyai kesyukuran yang tinggi akan membolehkan mereka mendapat kebahagiaan dan kegembiraan lebih mudah berbanding dengan seseorang yang selalu tidak puas hati dan selalu tidak bersyukur dengan perkara yang mereka miliki atau mempunyai keinginan yang tinggi untuk mendapatkan sesuatu yang dia tidak ada kerana atas dasar nafsu semata mendapat kabahagiaan dan kegembiraan lebih sukar. Namun hakikatnya, perkara ini adalah subjektif kerana keinginan berbeza-beza dari satu sama lain. Namun, keinginan yang berbeza tidak melayakkan seseorang untuk tidak bersukur dengan segala yang mereka sudah miliki dan sifat syukur ini perlu ada pada semua orang walaupun terdapat variasi dalam keinginan masing-masing. Sebagai contoh, seseorang yang selalu menghadapi kehidupan yang kacau-bilau seperti peperangan, bencana alam dan lain-lain berasa bahawa kehidupan yang aman adalah satu kebahagian yang besar. Namun, kepada seseorang yang hidup aman-damai tanpa mengalami sebarang kehidupan yang hura-hara akan berpendapat pula bahawa kehidupan dengan kekayaan dan kemewahan adalah kebahagiaan yang terbesar kepada manusia. Di sini, kita dapat lihat bahawa, manusia ini sukar untuk mencapai tahap syukur yang tinggi terhadap sesuatu suasana atau perkara-perkara yang mereka sudah kecapi dan mereka sentiasa inginkan lebih dari yang mereka sudah punyai. Apabila kita dapat bertemu dengan orang yang sentiasa bersyukur pada kehidupannya, maka kita akan lihat akan orang itu mempunyai keadaan emosi yang stabil dan hidupnnya lebih bahagia berbanding orang yang lain. Wallahua'lam.

No comments:

Post a Comment