Tuesday, August 9, 2011

A132058 Nurul Dayana bt Azmi LJ02 Looking at a Brighter Side

Assalamualaikum dan salam sejahtera saya sampaikan kepada Dr. Ahmad Zamri Mansor dan sahabat-sahabat sekalian. Jurnal kedua ini akan saya kongsikan tentang pengajaran dan  pengalaman saya sepanjang kuliah yang telah diadakan pada hari Rabu lepas yang bertarikh 3 Ogos 2011. Kuliah kali ini menyentuh tentang 'Izzard's theory' atau 'Izzard's innate facial expression" dan 'learning theories'. Kedua-duanya merupakan sedikit kesinambungan dari kuliah sebelumnya dan kami turut diperkenalkan tajuk baru mengenai emosi positif.

 

             Saya dengan rakan-rakan sekuliah lain telah diperkenalkan teori biologi yang terakhir iaitu 'Izzard's innate facial expression'. Teori ini berpendapat bahawa sesuatu emosi adalah semula jadi yang telah wujud sejak lahir lagi. Setelah membuat pencarian maklumat dengan bantuan dari beberapa laman web, saya dapat melakukan sedikit penyelidikan ke atas seorang ahli psikologi yang merupakan pencipta teori tersebut dan bernama Carroll Izzard. Dalam beberapa kajian ekspresi emosi di kalangan bayi yang telah dijalankan oleh beliau,  'Izzard's innate facial expression' ternyata membuktikan bahawa ekspresi muka dan percepsi terhadap ekspresi tersebut adalah semula jadi.

 

            Antara kajian-kajian yang menyebelahi ideologi beliau ialah kajian 'born to smile' yang telah dilakukan oleh beliau sendiri dan kajian silang budaya yang dijalankan oleh Ekman. Menurut kajian 'born to smile', luahan emosi telah pun wujud sejak kita lahir lagi. Bayi yang hanya berusia tiga hingga empat bulan boleh mengekspresikan perasaan marah dan terkejut. Pada usia lima hingga ke enam bulan, mereka boleh menunjukkan perasaan malu dan takut terhadap sesuatu atau seseorang, manakala kanak-kanak kecil yang berusia dua tahun boleh menunjukkan perasaan bersalah. Contohnya, apabila seorang kanak kecil menumpahkan makanannya ke atas lantai secara tidak sengaja, kanak tersebut akan berasa serba salah dan takut untuk mendapat teguran daripada ibunya. Namun demikian, teori Izzard telah mendapat kritikan daripada ahli-ahli penyelidik lain kerana senyuman seseorang bayi itu tidak semestinya bermakna ia benar-benar gembira.

 

            Kajian lain yang dijalankan oleh Ekman pula telah membabitkan negara Amerika Syarikat, Brazil, Chile, Argentina, Jepun Borneo dan New Guinea. Ekman telah mengarahkan sebilangan orang dari setiap negara untuk menunjukkan beberapa emosi melalui perubahan air muka dan telah mengambil gambar-gambar mereka. Setelah mengumpulkan gambar-gambar yang diambil, beliau mendapati bahawa ekspresi emosi pada air muka individu-individu dari latar belakang lima budaya yang berlainan adalah hampir sama antara satu sama lain. Walaubagaimanapun, kelemahannya terletak kepada subjek kajiannya iaitu ia hanya melibatkan masyarakat yang celik huruf.

 

            Ekman telah menjalankan beberapa kajian di Borneo dan New Guinea untuk mengesahkan hasil kajiannya. Di samping itu, pada tahun 1994, Scherer dan Walbott telah membuat kajian di 37 buah negara dan 5 buah benua. Mereka telah membuat kesimpulan dengan menyatakan bahawa terdapat bukti yang konsisten dalam kestabilan silang budaya terhadap corak tindak balas emosi. Hasil dari kajian-kajian tersebut, Ekman berpendapat bahawa ekspresi emosi adalah bukan sekadar semula jadi tetapi ia boleh diubahsuai oleh pengalaman budaya. Beliau juga menyokong kesejagatan mimik muka dengan emosi melalui analisis berkomputer yang mengkaji gambar-gambar muka yang telah diambil. Selain itu, beliau mendapati bahawa wajah gembira dalam budaya rentas adalah paling dominan iaitu sebanyak 95-100%, untuk dikenalpastikan berbanding dengan wajah takut sebanyak 54-85%.

 

            Berdasarkan teori pembelajaran dan pengalaman, peranan pembelajaran dan pengalaman boleh dilihat dari pandangan biologi atau pandangan teori pembelajaran. Pandangan biologi menyatakan bahwa pembelajaran hanya berperanan kecil dalam pembentukan emosi. Menurut kata Plutchik, pembelajaran mempengaruhi kekerapan emosi yang berbagai untuk diluahkan. Izzard pula beranggapan bahawa emosi adalah semula jadi yang telah lama wujud sejak beberapa bulan pertama bermulanya kehidupan dan pembelajaran memainkan perana yang membawa kepada timbulnya emosi. Beliau juga menjelaskan bahawa setiap manusia dilahirkan dengan kemarahan tetapi mereka akan mengetahui bagaimana untuk mengekspresikannya dengan cara masing-masing. Contohnya, Ah Beng seringkali membuat perkara-perkara yang tidak berfaedah seperti melakukan vandalisme di tempat awam apabila dia dalam kemarahan manakala Ah Chong akan berkongsi dengan kawan rapatnya untuk menenangkan pemikiran setiap kali dia berasa marah.

 

            Dari pandangan teori pembelajaran atau 'learning theories', kesemua jenis emosi merupakan hasil daripada apa yang kita telah pelajari atau daripada pengalaman. Kajian Miller telah pun membuktikan teori tersebut. Kajiannya dijalankan ke atas beberapa ekor tikus dengan menggunakan kejutan elektrik untuk merangsang perasaan ketakutan pada tikus-tikus terbabit. Hasilnya, tikus-tikus tersebut menunjukkan perasaan takut melalui proses pembelajaran setelah didedahkan dengan pengalaman yang menimbulkan perasaan itu.

 

            Tajuk lain yang dibincangkan pada hari Rabu lepas ialah mengenai emosi positif. Emosi positif didefinisikan sebagai apa-apa emosi atau perasaan yang membawa kepada kebahagiaan seseorang. Antara emosi-emosi yang dianggap positif ialah gembira, bahagia, kasih, menerima, kesenangan, rasa ingin tahu dan kesukaan. Apa yang dimaksudkan oleh gembira atau bahagia ialah keadaan emosi yang disifatkan sebagai kenikmatan, keseronokan dan kepuasan.

 

            Terdapat beberapa kajian mengenai kebahagiaan yang telah dilakukan seperti kajian silang budaya oleh Veenhoven pada tahun 1995. Kajian tersebut menunjukkan bahawa tahap kebahagiaan adalah berbeza antara sesebuah negara dengan negara yang lain. Hasil daripada kajian yang dijalankan oleh Diener st. Al (1995) pula menyatakan bahawa orang Asia  mempunyai tahap kebahagiaan yang rendah jika dibandingkan dengan penduduk-penduduk dari negara lain. Selain itu, kajian oleh Argyle pada tahun 1987 mendapati orang dari Amerika Utara, Australia dan Eropah merupakan orang yang paling bahagia.

 

            Banyak pengajaran baru yang telah saya pelajari dari kuliah baru-baru ini. Pada pandangan saya, emosi positif memainkan  peranan yang penting dalam kecerdasan emosional (emotional quotient atau singkat EQ). Ini kerana kedua-dua elemen ini berkait rapat dengan kemampuan untuk mengelola perasaan terhadap diri sendiri dan terhadap orang lain. Memahami diri secara objektif, menganggapi kesedihan dan kegembiraan secara tepat, selain juga misalnya cinta dan rasa empati kepada orang lain adalah beberapa manifestasi penting kecerdasan emosional.

 

"Happiness is an attitude. We either make ourselves miserable, or happy and strong. The amount of work is the same." –Francesca Reigler

 

 Sekian sahaja buat masa ini. Terima kasih kerana meluangkan masa anda untuk membaca jurnal saya.

 

=)

No comments:

Post a Comment